Wednesday, September 21, 2011

WAHAI SUAMI, HORMATILAH ISTERI MU.....


BISMILLAHIR ROHMA NIR ROHIM

Suami memainkan peranan yang penting sebagai pemimpin dalam hubungan suami dan isteri agar keharmonian rumahtangga terpelihara dalam memastikan perjalanan dan keperluan kehidupan itu dipenuhi sebaiknya. Tidak dinafikan ada waktu-waktu suram ketika bersama namun itu tidak patut menjadi halangan kerana ianya membantu mematangkan kehidupan pada masa depan. Buat si suami anda memang raja tetapi berilah penghargaan dan hormatilah isterimu selalu. Mari kita berkongsi sedikit sebanyak nasihat dari Dato' Dr Fadhilah Kamsah dalam menghargai isterimu.

01.Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

02.Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil itu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

03.Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..

04.Jangan demand seks sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

05.Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.

06.Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

07.Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai giliran isteri, yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.

08.Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.

09.Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10.Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut? Sudah kahwin makin menjadi-jadi pulak ye..

11.Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

12.Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga. Cuba perihatin dan buat penilaian sebaiknya.. ingat ada perkara diluar jangkauan dan pemahaman lelaki..

13.Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami "degil" tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.

14.Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?

15.Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

16.Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

17.Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking sahaja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Tentulah isteri yang akan jaga awak..

18.Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.

19.Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami adalah pemimpin, namun sangat elok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan.

20.Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama.Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka, belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.

21.Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali...

22.Jangan buat 'bodoh' kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang perempuan sensitif. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.

Suami diberi tanggungjawab yang amat besar sebagai pemimpin keluarga. Kepimpinan seorang suami bukan bermakna dia berkuasa melakukan apa sahaja. Apa yang dimaksudkan sebagai kepimpinan ialah seorang suami yang mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Melayan isterinya serta keluarganya dengan baik, menjadi pelindung kepada keluarganya dan yang paling penting harus menjadi pendakwah dalam keluarganya.

Isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam keluarga. Ketaatan dan kesetiaan seorang isteri menjamin kebahagiaan rumahtangga yang dibina. Isteri harus menjaga kehormatan dirinya semasa ketiadaan suami selain ikhlas dan sabar menjaga anak-anak dan harta dalam rumah tangga. Apabila suami atau isteri tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing, pembentukan keluarga sakinah akan tercapai. Sebuah keluarga yang sakinah bukan sahaja boleh dibentuk melalui peranan isteri dan suami malah meliputi anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Oleh itu, keluarga yang dibentuk harus padat dan lengkap secara berterusan dan konsisten mengamalkan nilai-nilai sakinah yang telah diunjurkan dalam al-Quran dan Sunnah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

~Thank You For Visiting My Blog ~